Sesungguhnya sesiapa yang
mencari kebenaran, pasti akan
menemuinya. Kisah ini adalah
kisah benar pengalaman seorang
manusia mencari agama yang
benar (hak), iaitu pengalaman
Salman Al Farisy
Marilah kita semak Salman
menceritakan pengalamannya
selama mengembara mencari
agama yang hak itu. Dengan
ingatannya yang kuat, ceritanya
lebih lengkap, terperinci dan
lebih terpercaya. seorang
sahabat Rasulullah saw.
Dari Abdullah bin Abbas
Radhiyallahu 'Anhuma berkata,
"Salman al-Farisi Radhiyallahu
'Anhu menceritakan biografinya
kepadaku dari mulutnya sendiri.
Kata Salman, "Saya pemuda Parsi,
penduduk kota Isfahan, berasal
dari desa Jayyan. Bapaku
pemimpin Desa. Orang terkaya
dan berkedudukan tinggi di situ.
Aku adalah insan yang paling
disayangi ayah sejak dilahirkan.
Kasih sayang beliau semakin
bertambah seiring dengan
peningkatan usiaku, sehingga
kerana teramat sayang, aku
dijaga di rumah seperti anak
gadis.
Aku mengabdikan diri dalam
Agama Majusi (yang dianut ayah
dan bangsaku). Aku ditugaskan
untuk menjaga api
penyembahan kami supaya api
tersebut sentiasa menyala.
Ayahku memiliki kebun yang
luas, dengan hasil yang banyak
Kerana itu beliau menetap di
sana untuk mengawasi dan
memungut hasilnya. Pada suatu
hari bapa pulang ke desa untuk
menyelesaikan suatu urusan
penting. Beliau berkata
kepadaku, "Hai anakku! Bapa
sekarang sangat sibuk. Kerana
itu pergilah engkau mengurus
kebun kita hari ini menggantikan
Bapa.''
Aku pergi ke kebun kami. Dalam
perjalanan ke sana aku melalui
sebuah gereja Nasrani. Aku
mendengar suara mereka
sedang sembahyang. Suara itu
sangat menarik perhatianku.
Sebenarnya aku belum mengerti
apa-apa tentang agama Nasrani
dan agama-agama lain. Kerana
selama ini aku dikurung bapa di
rumah, tidak boleh bergaul
dengan siapapun. Maka ketika
aku mendengar suara mereka,
aku tertarik untuk masuk ke
gereja itu dan mengetahui apa
yang sedang mereka lakukan.
Aku kagum dengan cara mereka
bersembahyang dan ingin
menyertainya.
Kataku, "Demi Allah! ini lebih
bagus daripada agama
kami."Aku tidak berganjak dari
gereja itu sehinggalah petang.
Sehingga aku terlupa untuk ke
kebun.
Aku bertanya kepada mereka,
"Dari mana asal agama ini?"
"Dari Syam (Syria)," jawab
mereka.
Setelah hari senja, barulah aku
pulang. Bapa bertanyakan
urusan kebun yang ditugaskan
beliau kepadaku.
Jawabku, "Wahai, Bapa! Aku
bertemu dengan orang sedang
sembahyang di gereja. Aku
kagum melihat mereka
sembahyang. Belum pernah aku
melihat cara orang sembahyang
seperti itu. Kerana itu aku berada
di gereja mereka sampai
petang."
Bapa menasihati akan
perbuatanku itu. Katanya, "Hai,
anakku! Agama Nasrani itu
bukan agama yang baik.
Agamamu dan agama nenek
moyangmu (Majusi) lebih baik
dari agama Nasrani itu!"
Jawabku, "Tidak! Demi Allah!
Sesungguhnya agama merekalah
yang lebih baik dari agama kita."
Bapa khuatir dengan ucapanku
itu. Dia takut kalau aku murtad
dari agama Majusi yang kami
anuti. Kerana itu dia
mengurungku dan
membelenggu kakiku dengan
rantai.
Ketika aku beroleh kesempatan,
kukirim surat kepada orang-
orang Nasrani minta tolong
kepada mereka untuk
memaklumkan kepadaku andai
ada kafilah yang akan ke Syam
supaya memberitahu kepadaku.
Tidak berapa lama kemudian,
datang kepada mereka satu
kafilah yang hendak pergi ke
Syam. Mereka memberitahu
kepadaku.
Maka aku berusaha untuk
membebaskan diri daripada
rantai yang membelengu diriku
dan melarikan diri bersama
kafilah tersebut ke Syam.
Sampai di sana aku bertanya
kepada mereka, "Siapa kepala
agama Nasrani di sini?"
"Uskup yang menjaga "jawab
mereka.
Aku pergi menemui Uskup
seraya berkata kepadanya, "Aku
tertarik masuk agama Nasrani.
Aku bersedia menadi pelayan
anda sambil belajar agama dan
sembahyang bersama-sama
anda."
'Masuklah!" kata Uskup.
Aku masuk, dan membaktikan
diri kepadanya sebagai pelayan.
Setelah beberapa lama aku
berbakti kepadanya, tahulah aku
Uskup itu orang jahat. Dia
menganjurkan jama'ahnya
bersedekah dan mendorong
umatnya beramal pahala. Bila
sedekah mereka telah terkumpul,
disimpannya saja dalam
perbendaharaannya dan tidak
dibahagi-bahagikannya kepada
fakir miskin sehingga
kekayaannya telah berkumpul
sebanyak tujuh peti emas.
Aku sangat membencinya kerana
perbuatannya yang mengambil
kesempatan untuk mengumpul
harta dengan duit sedekah
kaumnya. tidak lama kemudian
dia meninggal. Orang-orang
Nasrani berkumpul hendak
menguburkannya.
Aku berkata kepada mereka,
'Pendeta kalian ini orang jahat.
Dianjurkannya kalian bersedekah
dan digembirakannya kalian
dengan pahala yang akan kalian
peroleh. Tapi bila kalian berikan
sedekah kepadanya disimpannya
saja untuk dirinya, tidak satupun
yang diberikannya kepada fakir
miskin."
Tanya mereka, "Bagaimana kamu
tahu demikian?"
Jawabku, "Akan kutunjukkan
kepada kalian simpanannya."
Kata mereka, "Ya, tunjukkanlah
kepada kami!"
Maka kuperlihatkan kepada
mereka simpanannya yang
terdiri dan tujuh peti, penuh
berisi emas dan perak. Setelah
mereka saksikan semuanya,
mereka berkata, "Demi Allah!
Jangan dikuburkan dia!"
Lalu mereka salib jenazah uskup
itu, kemudian mereka lempari
dengan batu. Sesudah itu mereka
angkat pendeta lain sebagai
penggantinya. Akupun
mengabdikan diri kepadanya.
Belum pernah kulihat orang yang
lebih zuhud daripadanya. Dia
sangat membenci dunia tetapi
sangat cinta kepada akhirat. Dia
rajin beribadat siang malam.
Kerana itu aku sangat
menyukainya, dan lama tinggal
bersamanya.
Ketika ajalnya sudah dekat, aku
bertanya kepadanya, "Wahai
guru! Kepada siapa guru
mempercayakanku seandainya
guru meninggal. Dan dengan
siapa aku harus berguru
sepeninggalan guru?"
Jawabnya, "Hai, anakku! Tidak
seorang pun yang aku tahu,
melainkan seorang pendeta di
Mosul, yang belum merubah dan
menukar-nukar ajaran-ajaran
agama yang murni. Hubungi dia
di sana!"
Maka tatkala guruku itu sudah
meninggal, aku pergi mencari
pendeta yang tinggal di Mosul.
Kepadanya kuceritakan
pengalamanku dan pesan
guruku yang sudah meninggal
itu.
Kata pendeta Mosul, "Tinggallah
bersama saya."
Aku tinggal bersamanya.
Ternyata dia pendeta yang baik.
Ketika dia hampir meninggal, aku
berkata kepada nya,
"Sebagaimana guru ketahui,
mungkin ajal guru sudah dekat.
Kepada siapa guru mempercayai
seandainya guru sudah tiada?"
Jawabnya, "Hai, anakku! Demi
Allah! Aku tak tahu orang yang
seperti kami, kecuali seorang
pendeta di Nasibin. Hubungilah
dia!"
Ketika pendeta Mosul itu sudah
meninggal, aku pergi menemui
pendeta di Nasibin. Kepadanya
kuceritakan pengalamanku serta
pesan pendeta Mosul.
Kata pendeta Nasibin, "Tinggallah
bersama kami!"
Setelah aku tinggal di sana,
ternyata pendeta Nasibin itu
memang baik. Aku mengabdi
dan belajar dengannya
sehinggalah beliau wafat. Setelah
ajalnya sudah dekat, aku berkata
kepadanya, "Guru sudah tahu
perihalku maka kepada siapa
harusku berguru seandainya
guru meninggal?"
Jawabnya, "Hai, anakku! Aku
tidak tahu lagi pendeta yang
masih memegang teguh
agamanya, kecuali seorang
pendeta yang tinggal di Amuria.
Hubungilah dia!"
Aku pergi menghubungi pendeta
di Amuria itu. Maka kuceritakan
kepadanya pengalamanku.
Katanya, "Tinggallah bersama
kami!
Dengan petunjuknya, aku tinggal
di sana sambil mengembala
kambing dan sapi. Setelah
guruku sudah dekat pula ajalnya,
aku berkata kepadanya, "Guru
sudah tahu urusanku. Maka
kepada siapakah lagi aku akan
anda percayai seandainya guru
meninggal dan apakah yang
harus kuperbuat?"
Katanya, "Hai, anakku! Setahuku
tidak ada lagi di muka bumi ini
orang yang berpegang teguh
dengan agama yang murni
seperti kami. Tetapi sudah
hampir tiba masanya, di tanah
Arab akan muncul seorang Nabi
yang diutus Allah membawa
agama Nabi Ibrahim.
Kemudian dia akan berpindah ke
negeri yang banyak pohon
kurma di sana, terletak antara
dua bukit berbatu hitam. Nabi itu
mempunyai ciri-ciri yang jelas.
Dia mahu menerima dan
memakan hadiah, tetapi tidak
mahu menerima dan memakan
sedekah. Di antara kedua
bahunya terdapat tanda
kenabian. Jika engkau sanggup
pergilah ke negeri itu dan
temuilah dia!"
Setelah pendeta Amuria itu
wafat, aku masih tinggal di
Amuria, sehingga pada suatu
waktu segerombolan saudagar
Arab dan kabilah "Kalb" lewat di
sana. Aku berkata kepada
mereka, "Jika kalian mahu
membawaku ke negeri Arab, aku
berikan kepada kalian semua
sapi dan kambing-kambingku."
Jawab mereka, "Baiklah! Kami
bawa engkau ke sana."
Maka kuberikan kepada mereka
sapi dan kambing peliharaanku
semuanya. Aku dibawanya
bersama-sama mereka.
Sesampainya kami di Wadil Qura
aku ditipu oleh mereka. Aku
dijual kepada seorang Yahudi.
Maka dengan terpaksa aku pergi
dengan Yahudi itu dan
berkhidmat kepadanya sebagai
hamba. Pada suatu hari anak
saudara majikanku datang
mengunjunginya, iaitu Yahudi
Bani Quraizhah, lalu aku dibelinya
daripada majikanku.
Aku berpindah ke Yastrib dengan
majikanku yang baru ini. Di sana
aku melihat banyak pohon
kurma seperti yang diceritakan
guruku, Pendeta Amuria. Aku
yakin itulah kota yang dimaksud
guruku itu. Aku tinggal di kota
itu bersama majikanku yang
baru.
Ketika itu Nabi yang baru diutus
sudah muncul. Tetapi baginda
masih berada di Makkah
menyeru kaumnya. Namun
begitu aku belum mendengar
apa-apa tentang kehadiran serta
da'wah yang baginda sebarkan
kerana aku terlalu sibuk dengan
tugasku sebagai hamba.
Tidak berapa lama kemudian,
Rasulullah saw. berpindah ke
Yastrib. Demi Allah! Ketika itu aku
sedang berada di puncak pohon
kurma melaksanakan tugas yang
diperintahkan majikanku. Dan
majikanku itu duduk di bawah
pohon. Tiba-tiba datang anak
saudaranya mengatakan, "Biar
mampus Bani Qaiah!( kabilah Aus
dan Khazraj) Demi Allah!
Sekarang mereka berkumpul di
Quba' menyambut kedatangan
lelaki dari Makkah yang
mendakwa dirinya Nabi."
Mendengar ucapannya itu
badanku terasa panas dingin
seperti demam, sehingga aku
menggigil kerananya. Aku kuatir
akan jatuh dan tubuhku akan
menimpa majikanku. Aku segera
turun dari puncak ponon, lalu
bertanya kepada tamu itu, "Apa
kabar anda? Cubalah khabarkan
kembali kepadaku!"
Majikanku marah dan
memukulku seraya berkata, "Ini
bukan urusanmu! Kerjakan
tugasmu kembali!"
Keesokannya aku mengambil
buah kurma seberapa banyak
yang mampu kukumpulkan. Lalu
kubawa ke hadapan Rasulullah
saw..
Kataku "Aku tahu tuan orang
soleh. Tuan datang bersama-
sama sahabat tuan sebagai
perantau. Inilah sedikit kurma
dariku untuk sedekahkan kepada
tuan. Aku lihat tuanlah yang lebih
berhak menerimanya daripada
yang lain-lain." Lalu aku hulurkan
kurma itu ke hadapannya.
Baginda berkata kepada para
sahabatnya, "silakan kalian
makan,...!" Tetapi baginda tidak
menyentuh sedikit pun makanan
itu apalagi untuk memakannya.
Aku berkata dalam hati, "Inilah
satu di antara ciri cirinya!"
Kemudian aku pergi
meninggalkannya dan
kukumpulkan pula sedikit demi
sedikit kurma yang terdaya
kukumpulkan. Ketika Rasulullah
saw. pindah dari Quba' ke
Madinah, kubawa kurma itu
kepada baginda.
Kataku, "Aku lihat tuan tidak
mahu memakan sedekah.
Sekarang kubawakan sedikit
kurma, sebagai hadiah untuk
tuan."
Rasulullah saw. memakan buah
kurma yang kuhadiahkan
kepadanya. Dan baginda
mempersilakan pula para
sahabatnya makan bersama-
sama dengannya. Kataku dalam
hati, "ini ciri kedua!"
Kemudian kudatangi baginda di
Baqi', ketika baginda
menghantar jenazah sahabat
baginda untuk dimakamkan di
sana. Aku melihat baginda
memakai dua helai kain. Setelah
aku memberi salam kepada
baginda, aku berjalan
mengekorinya sambil melihat ke
belakang baginda untuk melihat
tanda kenabian yang dikatakan
guruku.
Agaknya baginda mengetahui
maksudku. Maka dijatuhkannya
kain yang menyelimuti
belakangnya, sehingga aku
melihat dengan jelas tanda
kenabiannya.
Barulah aku yakin, dia adalah
Nabi yang baru diutus itu. Aku
terus memeluk bagindanya, lalu
kuciumi dia sambil menangis.
Tanya Rasulullah, "Bagaimana
khabar Anda?"
Maka kuceritakan kepada beliau
seluruh kisah pengalamanku.
Beliau kagum dan menganjurkan
supaya aku menceritakan pula
pengalamanku itu kepada para
sahabat baginda. Lalu
kuceritakan pula kepada mereka.
Mereka sangat kagum dan
gembira mendengar kisah
pengalamanku.
Berbahagilah Salman Al-Farisy
yang telah berjuang mencari
agama yang hak di setiap
tempat. Berbahagialah Salman
yang telah menemukan agama
yang hak, lalu dia iman dengan
agama itu dan memegang teguh
agama yang diimaninya itu.
Berbahagialah Salman pada hari
kematiannya, dan pada hari dia
dibangkitkan kembali kelak.
Salman sibuk bekerja sebagai
hamba. Dan kerana inilah yang
menyebabkan Salman terhalang
mengikuti perang Badar dan
Uhud. "Rasulullah saw. suatu hari
bersabda kepadaku, "Mintalah
kepada majikanmu untuk bebas,
wahai Salman!" Maka majikanku
membebaskan aku dengan
tebusan 300 pohon kurma yang
harus aku tanam untuknya dan
40 uqiyah.
Kemudian Rasulullah saw.
mengumpulkan para sahabat
dan bersabda, "Berilah bantuan
kepada saudara kalian ini."
Mereka pun membantuku
dengan memberi pohon (tunas)
kurma. Seorang sahabat ada
yang memberiku 30 pohon, atau
20 pohon, ada yang 15 pohon,
dan ada yang 10 pohon, setiap
orang sahabat memberiku
pohon kurma sesuai dengan
kadar kemampuan mereka,
sehingga terkumpul benar-benar
300 pohon.
Setelah terkumpul Rasulullah
saw. bersabda kepadaku,
"Berangkatlah wahai Salman dan
tanamlah pohon kurma itu untuk
majikanmu, jika telah selesai
datanglah kemari aku akan
meletakkannya di tanganku."
Aku pun menanamnya dengan
dibantu para sahabat. Setelah
selesai aku menghadap
Rasulullah saw. dan
memberitahukan perihalku,
Kemudian Rasulullah saw. keluar
bersamaku menuju kebun yang
aku tanami itu. Kami dekatkan
pohon (tunas) kurma itu kepada
baginda dan Rasulullah saw. pun
meletakkannya di tangan
baginda. Maka, demi jiwa Salman
yang berada di tanganNya, tidak
ada sebatang pohon pun yang
mati.
Untuk tebusan pohon kurma
sudah dipenuhi, aku masih
mempunyai tanggungan wang
sebesar 40 uqiyah. Kemudian
Rasulullah saw. membawa emas
sebesar telur ayam hasil dari
rampasan perang. Lantas
baginda bersabda, "Apa yang
telah dilakukan Salman al-Farisi?"
Kemudian aku dipanggil baginda,
lalu baginda bersabda, "Ambillah
emas ini, gunakan untuk
melengkapi tebusanmu wahai
Salman!"
"Wahai Rasulullah saw.,
bagaimana status emas ini
bagiku? Soalku inginkan
kepastian daripada baginda.
Rasulullah menjawab, "Ambil
saja! Insya Allah, Allah Subhanahu
wa Ta'ala akan memberi
kebaikan kepadanya." Kemudian
aku menimbang emas itu. Demi
jiwa Salman yang berada di
tanganNya, berat ukuran emas
itu 40 uqiyah. Kemudian aku
penuhi tebusan yang harus aku
serahkan kepada majikanku, dan
aku dimerdekakan.
Setelah itu aku turut serta
bersama Rasulullah saw. dalam
perang Khandaq, dan sejak itu
tidak ada satu peperangan yang
tidak aku ikuti.'